Gambar sekadar hiasan.
Itulah berita yang amat menyayat hati dan sungguh indah didengar. Peristiwa ini berlaku di Stesen Bas Kuala Terengganu. Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan sujud dalam solat di stesen bas berkenaan. Arwah ditemui oleh pengunjung yang datang solat di surau dalam stesen berkenaan.
Bertuah sungguh hamba Allah ini kerana meninggal dunia ketika bersolat. Pada pendapat saya, mungkin arwah mempunyai amalan atau suka membuat kebajikan sehingga dianugerahkan kenikmatan tersebut.
Mati dalam keadaan baik adalah impian yang amat diingini oleh orang Islam. Ini kerana apabila kita mati dalam keadaan baik maka alam barzakh dan alam akhirat juga pasti akan berkeadaan baik. Jika kita mati dalam keadaan yang tidak baik atau tidak elok, pastinya alam barzakh atau alam kubur dan alam akhirat pasti akan berkeadaan buruk.
Kebiasaannya, seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan baik atau buruk ini dipengaruhi oleh amalan-amalan yang dilakukan semasa hidup. Jika kita ingin mati dalam keadaan baik, kita lakukanlah perkara yang disuruh oleh Allah dan yang ditetapkan dalam Islam seperti berzikir, berselawat, bersedekah, menunaikan solat dan sentiasa taat kepada perintah Allah. Alangkah indah jika roh kita diangkat ketika kita sedang beribadat kepada Yang Maha Esa.
Cuba bayangkan jika kita sedang asyik melakukan maksiat dan Malaikat Maut menarik nyawa kita ketika itu? Alamatnya tunggula azab di dalam kubur dan akhirat yang amat pedih.
Jadi, mulai saat ini, sama-samala kita berdoa agar kita meninggal dalam keadaan baik dan tingkatkanlah ibadat kita kepada Allah. Kita juga hendaklah menjauhkan diri kita dari kemaksiatan dan sentiasa ingat bahawa azab Allah amat pedih.
Peringatan ini saya tujukan untuk diri saya dan juga pengunjung blog saya sekalian. Semoga benda yang elok ini boleh dikongsi untuk peringatan kepada semua.